Sejak 10 tahun yang lalu, setiap petang Dina pasti akan datang ke tanah perkuburan itu menziarahi pusara kedua-dua ibu bapanya yang telah pergi menyahut panggilan Ilahi ketika dia berusia 15 tahun. Begitulah rutin harian Dina setiap hari jika ada kelapangan. Dina juga tidak lupa untuk menyedekahkan surah Al-Fatihah dan surah Yassin setiap kali menziarahi pusara kedua-dua ibu bapanya.
Masih terngiang-ngiang lagi suara umi dan abahnya memberi pesanan untuk kali terakhir diingatan Dina sebelum kedua-duanya pergi untuk selama-lamanya.
“Dina”, panggil Pn Rosni, ibu Dina.
“Ya umi. Ada apa umi?”, tanya Dina dengan penuh sopan dan lemah lembut.
“Umi dan abah nak beritahu sesuatu pada Dina”, jawab Pn Rosni.
“Sesuatu? Emmm....macam penting aje ni”, kata Dina bersahaja.
“Ya Dina. Umi dan abah perlu ke Kuala Terengganu. Ada urusan perniagaan di sana”.
“Ya ke? Bila tu umi?”, tanya Dina seakan terkejut dengan berita yang baru didengarinya sebentar tadi.
“Minggu depan Dina. Umi dan abah kamu ke sana sekejap saja. Bila urusan perniagaan tu dah selesai, kami pulanglah”.
“Tapi umi berapa lama?”.
“Mungkin dua hingga tiga minggu”.
“Tak boleh ke umi dan abah bawa Dina sekali?”.
Dina, Dina kan nak ambil PMR tahun ni. Kalau Dina ikut umi dan abah, banyak pelajaran yang Dina akan tinggal. Peperiksaan tinggal beberapa bulan aje lagi Dina. Ingat, pelajaran tu penting tau”, jawab En Ismail, bapa Dina setelah berdiam diri beberapa lama.
“Ala, umi dan abah kalau tak pergi ke Kuala Terengganu tu tak boleh ke? Kenapa tak suruh bisness partner abah yang pergi je?”, kata Dina seperti tidak mahu melepaskan kedua-dua ibu bapanya berangkat ke Kuala Terengganu, walhal tempat itu, bukanlah jauh mana pun.
“Dina sayang, inikan untuk masa depan Dina juga nanti”, jawab Puan Rosni.
“Baiklah umi, abah. Tapi jangan lupa belikan buah tangan untuk Dina tau”.
“Iye sayang”, jawab Puan Rosni dan Encik Ismail serentak.
“Dina, kalau abah dan umi dah tak ada nanti, abah harap Dina dapat teruskan hidup seperti biasa. Jangan terlalu sedih ya”, Encik Ismail bersuara pula.
“Ish abah ni, jangan la cakap macam tu. Dina nak abah dan umi sentiasa bersama dengan Dina”.
“Dina sayang, setiap yang hidup pasti akan mati juga, Cuma kita aje yang tak tau bila nyawa kita ini akan diambil semula”, sambung Puan Rosni.
“Ya umi, itu Dina tau. Tapi boleh tak abah dengan umi jangan cakap lagi pasal ni ye?”, jawab Dina seakan tidak suka apabila umi dan abahnya membangkitkan soal kematian.
“Baiklah sayang. Tapi abah nak Dina janji yang Dina akan teruskan hidup dan belajar bersungguh-sungguh ya?”.
“Baik abah, Dina janji”.
“Jangan janji je tau, mesti tunaikan tau”.
“Iye abah”.
Itulah kali terakhir Dina berbual-bual dengan umi dan abahnya. Siapa tahu, pemergian Encik Ismail dan Puan Rosni ke Kuala Terengganu telah meragut nyawa mereka. Semasa mereka dalam perjalanan ke Kuala Teregganu, Encik Ismail dan Puan Rosni telah ditimpa kemalangan. Kedua-duanya cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian. Peristiwa ini telah menyebabkan Dina menjadi yatim piatu. Setelah itu, Dina dijaga oleh sahabat baik umi dan abahnya iaitu En Razman dan Pn Fatihah. En Razman dan Pn Fatihah memiliki seorang anak perempuan iaitu Nisa. En Razman dan Pn Fatihah menjaga Dina seperti anak kandungnya sendiri. Di antara Dina dan Nisa tidak ada siapa yang kurang atau pun yang lebih. Nisa dan Dina adalah sebaya cuma Dina tua dua bulan berbanding Nisa. Mereka begitu akrab seperti isi dengan kuku.
Dina memang seorang anak yang tabah, setelah kematian kedua-dua orang tuanya, dia berusaha gigih dan kini dia sudah menjadi seorang doktor seperti yang diimpikannya sejak kecil lagi. Perniagaan ibu bapanya itu diserahkan kepada Encik Razman dan Puan Fatihah sekeluarga. Bagi Dina, biarlah perniagaan tersebut diuruskan oleh orang yang lebih berpengalaman. Dina tidak mahu kerana dia, perniagaan arwah umi dan abahnya musnah.
***************************************************************************
Setelah tamat waktu kerjanya, Dina akan singgah di taman dahulu sebelum pulang ke rumah. Nisa selalu datang ke situ untuk berjumpa dengan Dina.
“Eh Dina kau buat ape tu? Termenung jauh nampak?”, tegur Nisa dari arah belakang sehingga membuatkan Dina terkejut.
“Ish kau ni Nisa, kot ye pun bagi la salam dulu. Ni tak, terkejut aku tau”.
“Oh ya ke? Sorry ya Dina”.
“Okey, tapi lain kali jangan buat lagi tau”.
“Baik Dr. Dina saya janji tak buat lagi”, jawab Nisa sambil mengangkat tangan seolah-olah bersumpah. Dina terus ketawa melihat perlakuan Nisa itu yang seperti kebudak-budakan itu. Tetapi, kerana sikap Nisa itulah yang merapatkan lagi persahabatan antara mereka berdua.
“Dina, aku ada hal lah nak bagitahu pada kau”, kata Nisa setelah dilihatnya Dina hanya berdiam diri.
“Apa dia”, tanya Dina kembali.
“Aku sebenarnya...”.
“Sebenarnya apa?’, potong Dina setelah dilihatnya Nisa tidak meneruskan kata-katanya tadi.
“Sebenarnya aku dah jatuh cinta”, jawab Nisa agak gugup.
“Ya ke?”, tanya Dina agak terkejut dengan pengakuan Nisa sebentar tadi.
“Siapa lelaki bertuah tu”, tanya Dina lagi ingin tahu siapakah lelaki yang telah bertakhta di hati Nisa.
“Ala kau kenal la dengan lelaki tu. Kawan kita juga”, jawab Nisa seakan berteka-teki dengan Dina.
“Siapa ya?”, jawab Dina sambil otaknya ligat memikirkan mana-mana lelaki yang dikenalinya. Seingatnya, dia hanya mempunyai seorang kawan lelaki yang dikenalinya 5 tahun yang lalu ketika mereka bertiga sama-sama menuntut di Universiti Malaya walaupun mereka mengambil jurusan yang berbeza. Persahabatan mereka telah terjalin sehingga sekarang. Kini, kawannya itu, iaitu Fakhrul telah menjadi seorang jurutera dan bertugas di salah sebuah syarikat terkemuka di ibu kota. Tetapi, Dina tidak merasa ada bibit-bibit percintaan timbul di antara Fakhrul dan Nisa selama dia mengenali Fakhrul.
“Takkan Fakhrul kot”, duga Dina.
“Ya, memang pun. Pandai kau teka”, jawab Nisa tersenyum penuh makna.
“Oh ya ke?”, jawab Dina agak terkejut sambil cuba menutup perubahan pada air mukanya. “Ya Allah aku dan Nisa rupa-rupanya mencintai lelaki yang sama”, bisik hati Dina. Dina cuba berlagak seperti biasa, dia tidak mahu Nisa perasan akan perubahan air mukanya. Jika tidak, pasti Nisa akan syak sesuatu.
“Sejak bila kau jatuh cinta pada Fakhrul tu”, soal Dina lagi.
“Sejak kau perkenalkan aku pada dia lah”, jawab Nisa sambil tersenyum menampakkan sebaris giginya yang putih bersih itu.
“First sight love”, sambung Nisa lagi. Apa yang Dina mampu lakukan hanyalah tersenyum walaupun senyum tersebut adalah plastik kerana hatinya telah remuk. Mana mungkin Dina akan berebut dengan Nisa hanya kerana seorang lelaki.
“Aku doakan semoga korang berdua akan ke jinjang pelamin dan berkekalan sehingga ke akhir hayat”, kata Dina. Itu sahajalah yang mampu dikatakannya ketika itu.
Setelah mengetahui perasaan Nisa terhadap Fakhrul, Dina nekad untuk memadamkan perasaan cintanya terhadap Fakhrul. Dina tidak mahu melukakan hati Nisa. Nisa telah dianggapnya sebagai adiknya sendiri. Dina mahu Nisa bahagia. Baginya, jika Nisa bahagia, dia juga akan bahagia. Dan kerana itulah Dina menolak cinta Fakhrul. Dina masih ingat lagi dia terpaksa berbohong kepada Fakhrul demi menolak cinta Fakrul itu.
Ketika itu, hanya Fakhrul dan Dina sahaja pergi ke taman. Nisa tidak dapat ikut sama kerana ada kerja yang belum diselesaikannya lagi. Jika tidak, mereka bertiga pasti akan menghabiskan masa bersama-sama di taman itu. Setelah agak lama masing-masing berdiam diri sambil berjalan-jalan di tepi tasik di taman itu, tiba-tiba Fakhrul mula bersuara.
“Dina, I ada something nak bagitahu you”, kata Fakhrul.
“Ya apa dia? Bunyi macam serious je”, jawab Dina sambil tersenyum.
“I sebenarnya dah lama dah nak bagitahu you perkara ni tapi I tak berani. Sekarang I rasa inilah masa yang sesuai untuk I bagitahu you pasal perkara ni”, jawab Fakhrul dengan panjang lebar. Dina hanya mendengar dengan tekun.
“Sebenarnya I dah lama pendam perasaan I pada you. I cintakan you sejak kita mula berkenalan. I kalau boleh nak you jadi isteri I”, tutur Fakhrul lagi. Hampir pengsan Dina mendengar pengakuan Fakhrul itu. Namun, Dina cepat-cepat sedar dia tidak boleh menerima Fakhrul walaupun itulah yang ingin dilakukannya dan Dina begitu gembira kerana Fakhrul mencintainya. Tetapi jika dia menerima Fakhrul bermakna dia telah melukai hati Nisa. Oh itu tidak mungkin dilakukannya sama sekali.
“Tapi saya tak boleh terima cinta awak”, jawab Dina cuba berlagak tenang, namun di hatinya hanya Allah sahaja yang tahu begitu berat baginya untuk menolak cinta Fakhrul itu.
“Kenapa Dina?”, tanya Fakhrul seakan tidak berpuas hati.
“Sebenarnya saya telah mempunyai kekasih”, jawab Dina cuba berbohong kepada Fakhrul.
“Betul ke Dina awak sudah ada kekasih?”, soal Fakhrul lagi inginkan kepastian. Dina hanya mengangguk.
“Apakah tidak ada sedikit pun rasa cinta awak pada saya?”, tanya Fakhrul lagi.
“Fakhrul, saya cuma menganggap awak seperti kawan saya sahaja tak lebih dari itu”, jawab Dina. Lidahnya terasa perit untuk mengucapkan ayat itu.
“Tak apalah, saya faham. Terima kasih Dina kerana sudi menjadi kawan saya. Saya harap awak masih sudi menjadi kawan saya sampai bila-bila pun”.
“Ya Fakhrul kita kawan sampai bila-bila pun. Satu je yang saya nak awak tahu, ada orang lain yang mencintai awak”.
“Siapa?’.
“Nisa”.
“Oh”.
“Cinta lahir dari hati bukan dari rasa simpati”.
“Apa maksud you?”.
“You will know later”, jawab Dina.
Setelah peristiwa itu berlalu, Dina dan Fakhrul jarang berjumpa dan hanya sesekali sahaja bertanya khabar itu pun melalui khidmat pesanan ringkas. Bagi Dina, itu lebih baik. Jika dia dan Fakhrul selalu berjumpa, sudah tentu dia tidak dapat berpegang kepada janjinya dan Fakhrul pula sukar menerima kehadiran Nisa. Beberapa tahun berlalu, perhubungan Dina dan Fakhrul semakin hambar sebaliknya hubungan antara Nisa dengan Fakhrul semakin mesra. Dina tidak merasa dengki atau marah apabila mengetahui hubungan mereka berdua semakin akrab dan khabarnya akan diijab kabulkan tidak lama lagi. Sebaliknya, Dina sangat gembira dan bersyukur menerima perkhabaran tersebut kerana Fakhrul dapat menerima Nisa. Berita tersebut dikhabarkan sendiri oleh Nisa kepada Dina. Nisa mahu Dina menjadi pengapit di hari bersejarahnya itu. Namun, Dina menolaknya kerana pada hari perkahwinan antara Nisa dengan Fakhrul, Dina perlu ke London. Dina terpaksa ke sana untuk menjalani rawatan terhadap penyakit yang dihadapinya sejak sekian lama itu. Tiada sesiapa pun tahu yang Dina sebenarnya menghidap kanser tulang. Dina tidak mahu keluarga Nisa bimbang mengenai keadaan dirinya itu apa bila mengetahui keadaan dirinya itu. Dia tidak mahu orang lain berasa simpati terhadap dirinya yang sebatang kara itu. Untuk itu, Dina telah berbohong kepada Nisa yang dia terpaksa ke London kerana ingin melanjutkan pelajaran di sana dan penerbangan tersebut tidak boleh ditunda. Nisa yang tidak mahu memaksa terpaksa merelakan pemergian Dina ke London dengan rasa sedih.
Tepat 31 Disember 2008, Nisa telah diijab kabulkan dengan Fakhrul engan sekali lafaz sahaja. Nisa kelihatan anggun sekali menggayakan baju kebaya berwarna krim manakala Fakhrul pula tampak tampan apabila mengenakan baju melayu berwarna krim sedondon dengan Nisa. Kedua-dua mempelai kelihatan berseri-seri dan seperti pinang dibelah dua. Lain pula dengan Dina yang terpaksa menaiki kapal terbang untuk ke London bersama-sama linangan air mata, sedih kerana tidak dapat melihat Nisa dan Fakhrul diijab kabulkan dan gembira kerana mereka dapat disatukan. Memang benar, jodoh, rezeki, ajal dan semuanya ditentukan oleh Allah s.w.t. Kiranya Nisa itu memang diciptakan untuk Nisa dan bukannya untuk Dina.
Pemergian Dina ke London adalah pemergian buat selama-lamanya. Dina telah pergi menyahut panggilan Ilahi mengikut jejak langkah kedua-dua orang tuanya. Kanser tulang yang dihidapi oleh Dina itu telah berada pada peringkat akhir dan doktor tidak dapat menyelamatkannya kerana sel kanser tersebut telah merebak ke dalam organ-organ penting. Setelah mendapat khabar berita mengenai kematian Dina, jenazah Dina telah dituntut oleh keluarga Nisa dan disemadikan di sebelah pusara kedua-dua orang tua Dina.
Nisa begitu sedih dan kecewa kerana Dina tidak pernah bercerita kepadanya tentang penyakit yang dihidapinya itu. Jika tidak, sudah tentu Nisa dapat berada di samping Dina ketika dia menghembuskan nafasnya yang terakhir itu.
Fakhrul pula mengerti kenapa Dina pernah berkata kepadanya cinta lahir dari hati bukannya dari perasaan simpati. Rupa-rupanya Dina menghidapi kanser tulang dan tidak mahu dirinya bersimpati terhadap penyakit yang dihadapi oleh Dina. Dina tidak mahu Fakhrul mengahwini dirinya kerana rasa simpati.
Kini, genap sudah sebulan Dina meninggalkan Nisa, Fakhrul dan keluarga angkatnya. Selama itulah merka cuba menerima ketentuan Ilahi. Selama itulah mereka cuba merelakan pemergian Dina.